Sememangnya sayur merupakan makanan yang banyak menyumbang kepada kebaikan kesihatan. Namun rasanya yang pahit dan tidak sedap, menjadi alasan bagi segelintir kanak-kanak tidak gemarkannya dimasukkan dalam makananseharian. Perkara ini amat membimbangkan terutamanya dalam kalangan ibu bapa apabila melihat sejak kecil sayur seperti menjadi musuh mereka. Di bawah adalah cara untuk menggalakkan anak sukakan sayur.
- Hidangkan. Berusaha untuk menghidangkan sayur dan buah ketika sajian utama dan snek (sebelum atau selepas). Sejukkan buah dan sayur (salad) yang telah dipotong ke dalam beg plastik kecil atau bekas agar mudah dicapai oleh mereka.
- Jadi kreatif. Gunakan kreativiti anda untuk membuatkan makanan ini lebih menarik dan menyeronokkan. Potong sayur dan buah menjadi bentuk istimewa seperti kiub atau batang mancis. Anda juga boleh mengisar dan mencampurkan ke dalam hidangan yang lain. Hiaskan pinggan makan dengan cantik menggunakan sayur dan buah yang berlainan warna.
- Pelbagaikan cara masakan anda. Cuba pelbagaikan gaya masakan anda. Untuk kelainan, selang-selikan di antara masakan yang mudah, memanggang serta menghidangkan sayur-sayuran dan buah-buahan segar. Anda juga boleh menghidangkan buah atau salad yang telah disejukkan.
- Libatkan anak anda. Galakkan anak anda membantu semasa membeli, menyediakan dan memasak makanan. Beri peluang kepada mereka memilih buah-buahan dan sayur-sayuran, memotong bawang dan sayur dengan menggunakan peralatan yang selamat serta membantu mengacau masakan.
- Jadilah contoh yang baik. Kanak-kanak memerhatikan sikap anda terhadap makanan.Makanlah sayur dan buah bersama mereka di meja makan dan galakkan perbualan mengenai rasa, bau dan rupa makanan tersebut.
No comments:
Post a Comment